About Me

My photo
We like to have fun and just joke around but when it turns serious, we'll be serious alright..

13 July, 2010

KEDAI MAKAN RM2


Ahmad Hisham Mohamad Nazari dan Siti Norhalizah Marzuki menunjukkan salah satu hidangan RM2 di kedai mereka di Taman Indah Jaya,Teluk Intan, semalam.


TELUK INTAN 12 Julai - Jika kebanyakan pengusaha kedai makan di negara ini sentiasa berlumba-lumba untuk menaikkan harga makanan yang dijual, berlainan pula dengan sikap sepasang suami isteri di sini.
Walaupun tidak menafikan harga barang-barang meningkat setiap hari namun, pasangan ini masih juga mengekalkan harga makanan yang dijual iaitu hanya RM2 sepinggan sejak tujuh tahun lalu.
Lebih menarik, harga semurah itu ditetapkan kepada semua 18 jenis makanan panas yang disediakan termasuk nasi ayam paprik, mee goreng, kuey teow kerang, nasi goreng, mee hailam serta beberapa jenis sup.
Menurut pemilik kedai makan yang terletak di Taman Indah Jaya dekat sini ini, Ahmad Hisham Mohamad Nazari, 35, dia mengekalkan harga tersebut kerana yakin pelanggannya sentiasa bertambah setiap hari.
''Memanglah keuntungannya tidak berapa banyak tetapi kami percaya dengan menjualnya pada harga yang murah akan dapat menarik ramai pelanggan ke kedai kami," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tambah Ahmad Hisham, dia yang dibantu oleh isterinya, Siti Norhalizah Marzuki, 33, tetap berpuas hati dengan rezeki yang diterima kerana ia lebih kepada usaha membantu orang lain.
''Kami tidak memilih kaum walaupun pelanggan yang datang India atau Cina, harga dikenakan tetap RM2 sahaja," katanya tersenyum.
Selain isteri, disebabkan pelanggan yang datang ke kedainya tidak putus-putus, dia kini menggajikan tiga lagi pekerja untuk membantu.
Sementara itu, salah seorang pelanggan, Sabre Mohd. Khalid, 48, memberitahu, dia sering membawa keluarganya makan di kedai itu kerana harga yang dikenakan adalah murah.
''Sebagai penduduk di luar Teluk Intan, boleh dikatakan saya sering membawa keluarga ke sini kerana ia sangat menjimatkan," jelasnya.
Seorang lagi pelanggan, Marina Rahim, 24, pula amat bersyukur kerana dia tidak perlu berbelanja besar untuk membeli makanan setiap hari.
''Sebenarnya susah nak cari kedai makan yang jual makanan dengan harga semurah ini dan banyak pula. Saya bersyukur sangat-sangat," katanya.

No comments:

Post a Comment